weblog MDESJ ini telah berpindah ke PORTAL MDESJ berkuasa 1 Muharram 1432H /7 Disember 2010

AJK Perintis (1976) diraikan.. Silaturrahim 'Idilfitri 1431H

Friday, May 14, 2010

Pentingnya Guru

Khutbah JAIS | PENUH | Jawi | English |

Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa berusaha mencari ilmu pengetahuan di samping berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran dan penguasaan diri dalam pelbagai bidang. Ilmu pengetahuan merupakan kunci kepada kebahagiaan hidup manusia di dunia,  kerana tanpa ilmu kemungkinan kita pada hari ini masih lagi berada dalam kemunduran dan kemiskinan. OIeh itu, jelaslah kepada kita bahawa ketinggian ilmu pengetahuan merupakan ukuran yang sangat penting dalam membezakan antara baik dan buruk, kaya dan miskin, maju dan mundur bagi sesuatu bangsa dan negara.

Para guru dan pendidik sebagai golongan yang teramat penting dalam pembangunan dan perubahan umat sejagat. Guru diumpamakan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan atau pun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuannya.


Tanggal 16 Mei setiap tahun, adalah tarikh Sambutan Hari Guru di negara kita.  Warga  Guru   dirai,  dihargai  dan   dikenang  jasa  mereka.   Sebagai  guru mereka telah mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Mereka adalah insan yang sungguh mulia, yang telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan memurtabatkan ummah. Peranan mereka amat penting, bukan sahaja menyampaikan pengetahuan fadhu ain atau fadhu kifayah, tetapi memastikan akidah kita mantap, iman kita bertambah dan jauh dari kesesatan. Malah guru wajar menjadikan Rasulullah sebagai pendidik yang terbaik.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Jumuah ayat 2:     
Maksudnya: "Dialah yang mengutuskan dalam kalangan orang Arab yang ummiyyin (tidak tahu membaca dan menulis) seorang Rasul (Nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat  Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada ‘iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan). Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata".

Baca selanjutnya...



Menurut kacamata  Islam, guru bukan sekadar menjadi mudarris (pendidik), tetapi   guru   juga   sebagai   mu'allim   (iaitu  penyampai  yang  benar),  sebagai murabbi (pengasuh dan pendidik anak-anak dengan kasih sayang), sebagai muaddib (pembentuk adab dan akhlak anak-anak) dan sebagai mursyid (iaitu pembimbing ke arah kebenaran). Warga guru juga harus sentiasa berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan secara berterusan, kerana ilmu itu sangat luas dan perlu diterokai.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada semua guru di semua peringkat pra-sekolah hingga ke universiti secara formal atau pun tidak formal hendaklah bertanya kepada diri sendiri, apakah matlamat sebenar kerjaya perguruan dan setakat manakah kita mampu menyumbang kepada pembangunan insan mengikut acuan Islam?. Kita sedia maklum seperti yang terpapar di dada-dada akhbar dewasa ini, Krisis Keruntuhan Moral di kalangan pelajar telah melibatkan masalah sosial yang serius seperti pelacuran, buang bayi, kes pukul,  buli dan sebagainya. Desakan hidup antara yang menjadi faktor terdorongnya para pelajar terlibat dalam aktiviti sosial yang tidak sihat. Selain ibu bapa, peranan guru amat diperlukan dalam menangani masalah ini, kerana guru selaku individu yang paling rapat dengan pelajar semasa di sekolah, untuk memberi bimbingan dan dorongan kepada mereka.
        
Telah terbukti, bahawa sumbangan dan pengorbanan guru pada hari ini tidak ternilai banyaknya. Saban hari para guru melaksanakan tugasnya tanpa mengenal erti jemu, tidak tentu waktu dan sentiasa sabar menanti kejayaan serta kecemerlangan anak didiknya. Guru sering diumpamakan seperti sebatang lilin, "Membakar diri menerangi orang lain".
        
Sesungguhnya guru adalah seorang yang unggul, penting lagi mulia.  Tidak  akan  lahir  seorang  ‘ulama' tanpa  guru,  tidak  akan  ada  seorang doktor tanpa guru, tidak akan ada seorang jurutera tanpa guru, tidak akan ada seorang arkitek tanpa guru, malah tidak akan ada seorang pemimpin berwibawa tanpa guru.

Para pelajar sewajarnya memperbanyakkan muhasabah diri, mengambil peluang, berazam dan berjanji untuk menghargai masa muda mereka. Sentiasa berkomunikasi dengan guru, memanfaatkan sepenuhnya kehadiran mereka untuk mendapatkan didikan dan tunjuk-ajar.  Mereka perlu menguasai pelbagai ilmu pengetahuan serta kemahiran di samping membina jati diri bagi menghadapi cabaran mendatang.
        
Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta'ala ‘Anhu dalam kitabnya "Ihyai ‘Ulumiddin" menjelaskan dan mengingatkan, supaya kita mengutamakan pendidikan anak-anak dengan mempelajari Al-Quran, Hadith-hadith Nabi, Kisah-kisah Para Solihin, Hukum-hukum agama dan termasuk juga pendidikan jasmani dengan secara berguru bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan ilmu yang diajar dapat difahami dengan sepenuhnya selain ianya menjadi penyumbang kepada perkembangan mental dan syakhsiah anak-anak kita.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah At-Taubah ayat 122:
Maksudnya: "Dan tidaklah sepatutnya bagi orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Mengapa tidak, sekelompok daripada tiap-tiap puak (Qabilah) antara mereka memperdalami ilmu agama dan supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali kepada mereka. Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)".


Sempena dengan Sambutan Hari Guru dan Bulan Pendidikan Islam Negeri Selangor, diharapkan para guru sentiasa berazam untuk melengkapkan diri sebagai guru yang cemerlang demi mencapai matlamat yang diharapkan. Sentiasa diberi kekuatan dalam menghadapi sebarang masalah  ujian dan dugaan yang semakin hari semakin mencabar.  Maka sebagai pendidik haruslah bersabar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Asy-Syahid Hasan Albana berpesan:  "Jadilah kamu sebatang pohon, orang melemparmu dengan batu, tetapi kamu menggugurkan buah yang ranum".
        
Sama-samalah kita berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar mereka yang telah mendidik kita sentiasa mendapat rahmat dan pertolongan Allah Subhanahu Wata'ala. Bagi guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah, didoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat dan keampunan Allah Subhanahu Wata'ala.
Maksudnya: "Katakanlah (kepada-Nya), adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna".  (Az-Zumar: 9)

0 comments:

ANAK YATIM YAYASAN AL-IJABAH

ANAK YATIM YAYASAN AL-IJABAH
Menyumbanglah kepada dana saham amanah akhirat bagi pembangunan YAYASAN AL-IJABAH ... Klik gambar di atas

Tabung Amanah Saham Akhirat

Tabung Amanah Saham Akhirat
...kemudahan bank transfer anda.

KHAIRAT KEMATIAN MDESJ & MANFAAT

1. DAFTARLAH SEGERA SEBAGAI AHLI
2. Muat turun BORANG KEAHLIAN
3. Jika berlaku kematian SIAPA YANG PERLU DIHUBUNGI?

PANDUAN PRODUK HALAL /SUCI

Maklumat KEPENGGUNAAN Terpilih

SELSEMA BABI

STATUS TERKINI


  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP