Kejayaan Rasulullah
Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua akan beroleh kebahagian di dunia dan akhirat.
Antara rahmat Allah yang terbesar kepada seluruh umat manusia di dunia ini ialah mengutuskan kepada mereka seorang Rasul, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. yang membawa petunjuk dan agama yang sebenar.
Umat Islam termasuk golongan mutaakhkhirin perlu memperingatinya untuk lebih mengenali Rasulullah dan ajaran Baginda secara dekat, supaya dapat mengambil teladan dan iktibar, demi memperkuat iman serta takwa, agar menjadi mukmin dan muslim yang sejati.
Menurut catatan sejarah, bangsa Arab di zaman Jahiliyyah merupakan bangsa yang kasar, masyarakatnya sukar untuk dipimpin dan diatur. Mereka sering mencetuskan perkelahian dan peperangan di kalangan mereka, walau pun atas sebab-sebab yang kecil. Keburukan mereka digambarkan oleh Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran Ayat 103:
" . . . Dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati-hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyyah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga)"
| Baca selanjutnya |Ayat ini menerangkan bahawa keadaan orang-orang Arab ketika itu suka berpecah dan bermusuh-musuhan antara satu sama lain, kemudian Allah telah menyatukan mereka hidup bersaudara dan bersatu atas dasar Islam.
Menjelang umur Nabi Muhammad s.a.w. 17 tahun, Baginda termasyhur di kalangan masyarakat Arab sebagai seorang pemuda yang paling dipercayai atau digelar ‘Al-Amin'. Di saat itu, sering terjadi peperangan antara suku-suku kaum. Ramai di kalangan mereka yang tercedera hingga ada yang membawa maut. Nabi Muhammad berusaha mengumpulkan pemuda yang sebaya dengannya, untuk menangani dan menghalang berlakunya pertempuran di samping menolong mereka yang luka dan cedera.
Pemuda-pemuda itu dilatih menunggang kuda, memanah dan berenang, sehingga menjadi pemuda yang cekap, sihat dan kuat. Mereka dihimpunkan dalam organisasi yang dikenali dengan nama Hilful-Fudhul (bersumpah setia berbuat kebajikan).
Ketika berumur 25 tahun, Baginda bekerja menjalankan perdagangan seorang hartawan wanita yang bernama Khadijah, akhirnya Baginda berkahwin dengannya. Selama 26 tahun Rasulullah hidup bersama Khadijah, sebagai suami isteri yang bahagia, Khadijahlah ibu daripada semua anak-anak Baginda kecuali Ibrahim. Tetapi, hanya Fatimah sahaja puteri Baginda yang melahirkan zuriat iaitu Hasan dan Husin yang merupakan anak kepada Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a.
Setelah meningkat umur Baginda 35 tahun, Baginda memilih Gua Hira' yang terletak di atas Bukit Nur, sebagai tempat menyepikan diri. Seterusnya, ketika berumur 40 tahun, boleh dikatakan sepanjang tahun itu Baginda berulang-alik ke gua tersebut. Sehingga pada malam 17 Ramadhan, di waktu tengah malam, Baginda didatangi Malaikat Jibrail lantas memeluk Baginda, lalu berkata:
" Iqra' " (Bacalah olehmu). Baginda menjawab: "Aku tidak boleh membaca". Kemudian, diperintah kali kedua, juga Baginda menjawab seperti jawapan pertama. Akhirnya Jibrail menyampaikan firman Allah SWT dalam Surah Al-'Alaq, Ayat 1 - 5, yang bermula dengan:
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)".
Keesokan harinya, Khadijah menceritakan kejadian yang menimpa suaminya itu kepada Warqah bin Naufal yang dikenali sebagai seorang yang banyak pengetahuan dan pengalaman hidup. Warqah berkata:
"Saya sudah lama memperhatikan tingkah laku Muhammad, dan kalau yang engkau laporkan itu benar berlaku, maka saya yakin bahawa makhluk yang datang kepada Muhammad itu adalah Malaikat Agung (Ruuhul Qudus) yang pernah datang kepada Nabi Musa dan 'Isa sebelum ini. Saya yakin bahawa Muhammad itu adalah seorang utusan Allah sebagaimana juga ‘Isa dan Musa dan lain-lain utusan".
Mendengar ucapan pakciknya itu, maka kebimbangan Khadijah pun berkurangan. Apabila ia kembali ke rumah, didapati suaminya menceritakan pula, bahawa: "Makhluk yang malam tadi itu, datang lagi, ia menarik selimutku dan berkata:
"Wahai orang yang berselimut, bangunlah serta berilah peringatan dan amaran kepada umat manusia. Dan agungkanlah Tuhanmu, bersihkanlah pakaianmu, tinggalkanlah perbuatan kotor".(Al-Muddaththir: 1-5)
Baginda menyatakan kepada Khadijah bahawa yang datang itu adalah Malaikat Jibrail, menyampaikan wahyu Allah, kerana saya sudah diangkat menjadi utusan (Rasul) Allah. Khadijah bertambah yakin dan menyatakan:
"Aku percaya bahawa engkau adalah Rasul Allah". Khadijah merupakan manusia pertama, menyahut seruan Nabi Muhammad s.a.w.
Semenjak waktu itu, setiap kali turun wahyu, Rasulullah akan berdiri di khalayak ramai untuk menyampaikan wahyu Allah yang diterimanya. Maka berubahlah keadaan bangsa Arab di kalangan pengikut Nabi Muhammad s.a.w., dengan perubahan yang amat ketara. Mereka mula menjadi manusia yang berfikir, dapat membezakan antara yang baik dan buruk, berubah agama atau kepercayaan daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah Yang Maha Esa, berubah akhlak dan watak, menjadi manusia yang sangat halus perasaan, suka menolong dan mudah berbuat baik, mereka hidup berkasih sayang, lebih akrab daripada saudara kandung sendiri.
Antara faktor yang menyebabkan agama yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. mudah berkembang di seluruh permukaan bumi, adalah kerana:-
1. Kesempurnaan dan kelengkapan agama Islam itu sendiri kerana ia merangkumi keseluruhan ajaran semua para nabi dan rasul serta kitab-kitab suci yang pernah diutus dan diturunkan sebelum Muhammad s.a.w. Kerana kesempurnaan dan kelengkapan itu, Allah tidak perlu lagi mengutus Nabi dan Rasul yang lain atau menurunkan kitab selepasnya. Muhammad s.a.w. adalah Nabi dan Rasul terakhir, manakala Al-Quran pula adalah kitab yang terakhir.
2. Agama Islam mengakui seluruh Nabi dan Rasul, sama ada yang tercatat nama mereka di dalam Al-Quran atau pun tidak. Al-Quran hanya menyebutkan 25 orang Nabi dan Rasul sahaja, namun menurut hadith, terdapat 124,000 Nabi, hanya 313 orang diangkat Allah menjadi Rasul dan 5 daripadanya sebagai Ulul'azmi.
3. Islam memandang manusia seluruhnya adalah bersaudara, tidak membezakan antara suku, bangsa, warna kulit dan agama. Manusia yang paling baik ialah manusia yang paling bertaqwa kepada Allah dan memberi manfaat bagi semua manusia.
4. Ajaran Islam secocok dengan akal dan ilmu pengetahuan, tidak ada yang bertentangan dengan kedua-duanya, kerana itu Islam menganjurkan supaya manusia sentiasa mencari ilmu pengetahuan.
Menurut satu kajian pada tahun 1964 jumlah umat Islam adalah seramai 642 juta, manakala tahun 1975 bilangan ini meningkat kepada 907 juta. Kini, telah dilaporkan bahawa umat Islam telah meningkat kepada 1.8 bilion orang. Ini bermakna, umat Islam yang menyahut seruan Rasulullah sudah menjadi umat yang terbesar jumlahnya di permukaan bumi ini. Demikianlah kejayaan besar Rasulullah s.a.w. mengubah aqidah manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa.
Oleh yang demikian, tanggungjawab kita sebagai umat Islam kini ialah menjaga dan mempertahankan agama Allah ini. Kalau umat Islam dahulu mempertahankan Islam dengan berhijrah meninggalkan kampung halaman dengan mempertaruhkan nyawa dan berjihad dalam medan peperangan. Maka kita pada hari ini, mestilah berani dan bersemangat mempertahankan Islam, dengan memperkukuh keimanan dan meningkatkan amal soleh. Memastikan ajaran Islam tidak diseleweng atau dipertikaikan oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi orang yang bukan Islam. Kita juga perlu memperkukuhkan perpaduan dalam masyarakat Islam supaya dapat menangkis sebarang usaha yang mencabar kewibawaan agama Islam dan bertujuan untuk menjatuhkan maruah serta martabat penganutnya.
"Dan Sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidaklah akan diterima daripadanya, dan ia di akhirat kelak termasuk ke dalam golongan orang yang rugi".(Ali ‘Imran: 85).
0 comments:
Post a Comment