Ehsan
Menurut maksud daripada Hadith yang diriwayatkan oIeh ‘Omar bin Al-Khattab, bahawa malaikat jibril bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai iman, Islam dan ehsan. Jawapan Rasulullah s.a.w. mengenai ehsan adalah;
"Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya dan sekiranya kamu tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat kamu" . (Hadith Riwayat Muslim)
Maksud Hadith ini jelas, memberi peringatan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala mengetahui dan mengawasi setiap ketika walau di mana kita berada. Bagi menjamin setiap manusia daripada melakukan amalan, perbuatan dan tindakan yang menyalahi syariat maka setiap orang hendaklah mempunyai kefahaman yang jelas tentang konsep ehsan.
Sesungguhnya orang yang meyakini konsep ehsan sentiasa menunaikan tanggungjawab dengan sempurna. Mereka terlalu takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang sentiasa mengetahui segala gerak-geri, zahir mahu pun batin. Dengan semangat inilah Islam telah membina sistem, peraturan, perundangan dan arahan yang mampu mengawal tatalaku manusia.
Baca selanjutnya...
Terlalu banyak contoh insan mulia di zaman para anbia' dan kegemilangan Islam yang mementingkan amanah, kejujuran, keikhlasan dan integriti. Nabi Yusof misalnya, pernah digoda oIeh Zulaikha yang cantik lagi bangsawan, beliau merayu dan memujuk di istana dalam suasana yang amat menawan. Namun kerana nabi Yusof mempunyai keyakinan bahawa Allah mengetahui segala perbuatannya ini, mampu mengatakan bahawa aku takut terhadap Allah. Subhanallah!, inilah jenis manusia yang akan mendapat naungan ‘arasy di mahsyar nanti. Sebahagian hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:
"Lelaki yang digoda oIeh wanita cantik dan berdarjat lantas menjawab:
"Aku takut kepada Allah". ( Hadith Riwayat At-Tarmizi).
Sirah kehidupan nabi s.a.w. sendiri menunjukkan bahawa Baginda sentiasa melakukan perbuatan terbaik. Contohnya Baginda sentiasa taat, jujur, tekun, amanah, dedikasi dan bijak ketika membantu perniagaan Abu Talib dan Saidatina Khadijah sehingga memperoleh keuntungan yang banyak. Rasulullah s.a.w. dengan sifat terpujinya membuatkan Saidatina Khadijah tertarik hati dengan tingkahlaku Baginda, sehingga ia sendiri meminang Rasulullah s.a.w. sebagai suami. Inilah antara natijah seorang yang sentiasa mengutamakan pengawasan Allah dalam setiap ruang kehidupan hariannya.
Persoalannya ialah akan adakah kualiti manusia atau insan di abad ini yang memiliki sikap sedemikian?. Kalau tidak, bagaimana untuk mewujudkannya?. Apakah langkah, perancangan dan tindakan yang perlu diambil ke arah melahirkan individu yang sentiasa jujur, amanah, ikhlas dan meyakini konsep ehsan?. Kini sering berlaku pelbagai bentuk jenayah. Antaranya, jenayah Kolar Putih yang dilakukan oIeh golongan terpelajar. Mereka terdiri daripada golongan cemerlang, cerdik dan pintar yang berjaya. Di awal kehidupan khususnya ketika di alam persekolahan, kejayaan akademik mereka disiar di media massa. Mereka dipuji, disanjung selaku harapan bangsa, bakal pemaju negara.
Namun setelah melalui liku-liku kehidupan, menghadapi pelbagai ujian dan cabaran ada segelintir yang hilang pertimbangan sehingga sanggup melakukan kesalahan lantaran pelbagai rupa peluang atau tawaran menarik yang boleh dimiliki. Malah menggoncang keimanan mereka sehingga ada yang terlanjur melakukan kemaksiatan.
Sesungguhnya semua manusia akan ditanya tentang segala yang mereka lakukan. Maksud hadith daripada Abu Barzah Nadhlah bin ‘Ubaid Al-Aslamiyyi Radhiallahu ‘Anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Belum berganjak lagi kedua kaki seseorang hamba di hadapan Allah Subhanahu Wata'ala pada hari kiamat, sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya dan akan ditanya tentang hartanya, dari mana ia memperoleh dan untuk apa dibelanjakannya dan akan ditanya tentang tubuh badannya untuk apa digunakannya" . (Hadith Riwayat At-Tarmizi)
Berdasarkan Hadith tersebut, kita akan dituntut untuk menjelaskan kepada Allah Subhanahu Wata'ala ke atas setiap sumber, pemilikan, pemberian dan pendapatan yang diperolehi.Perhitungan Allah Subhanahu Wata'ala amat teliti sehingga kita tidak akan dapat melepasi tapisan rapi di mahsyar nanti. Justeru, setiap individu muslim mesti menjadikan ehsan sebagai pengawas, pemerhati dan pengawal diri. Sekiranya penghayatan konsep ehsan itu dihayati, tentu tiada yang sanggup melakukan sebarang kemungkaran. Ingatlah!, setiap perbuatan yang dilakukan tanpa mengira keturunan, pangkat, kedudukan, kumpulan atau parti politik akan melalui pemantauan dan pengetahuan Allah Subhanahu Wata'ala.
Umat Islam diingatkan supaya membuat kebaikan; bermula dari dalam diri individu. Kita perlu berikhtiar dan berdoa untuk mendapat keberkatan. Namun doa tanpa usaha merupakan angan-angan kosong semata-mata. Kita mesti menggabungkan antara doa dan usaha. Lakukan dengan seimbang, insya Allah, ia akan membawa kepada kejayaan.
Setiap individu muslim dan apa pun kedudukan mereka wajib mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah Subhanahu Wata'ala. Sekiranya ini dapat dilaksanakan maka masyarakat akan merasa terbela, keadilan akan terlaksana, kemakmuran akan sama dirasa, kemajuan akan meliputi semua dan kedamaian pasti akan bertahan lama. Maka akhirnya berkat Allah Subhanahu Wata'ala akan meratai segala makhluk-Nya. Ketika itu akan lahirlah insan terpuji, berakhlak mulia yang akan menyantuni segala dimensi kehidupan mengikuti perintah Ilahi.
Telah menjadi ketentuan Allah bahawa sesuatu kejayaan itu dicapai hasil daripada kerja kuat, tekun, amanah dan dedikasi. OIeh itu, Marilah kita muhasabah diri, sejauh manakah kita telah memahami konsep ehsan ke arah membawa perubahan kepada diri, keluarga, organisasi, negara dan kepentingan agama kita?. Maka umat Islam wajarlah meningkatkan usaha, memperbaiki prestasi amal ibadah, sentiasa memiliki nilai-nilai positif terhadap diri, bersedia menerima pandangan dan teguran orang lain, berkasih sayang, saling memaafkan, saling memahami, bertolak-ansur serta peka kepada keperluan semasa.
Sebagai khalifah kita bertangggungjawab mengurus alam dan isinya secara baik supaya manfaat dan keberkatannya dapat dinikmati bersama. Justeru, bagi memakmur dan memajukan negara, peningkatan kualiti pengurusan melalui Penghayatan Konsep Ehsan yang meliputi antaranya amanah, jujur dan ikhlas dalam pelbagai aspek kehidupan sangat diperlukan. Kualiti tersebut akan wujud apabila sesuatu tugas dan tanggungjawab dilakukan secara profesional.
Dengan yang demikian, kita dapat membantu semua pihak yang bertangggungjawab untuk mengawal pelbagai perbuatan mazmumah, fasad atau mungkar. Usahakanlah untuk mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala segala kehidupan dan rezeki akan menjadi berkat. Sekiranya semua individu muslim tanpa mengira kelompok atau kedudukan, masing-masing mengamalkan kebersihan, ketelusan, kejujuran, keikhlasan dan segala sifat mulia dalam urusan harian mereka ketika berhubungan dengan Allah dan manusia, sudah pasti Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan keberkatan.
"Dan carilah pada apa yang telah dikurniakan oIeh Allah kepadamu akan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu daripada dunia ini serta berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan ". (Al-Qasas: 77).
0 comments:
Post a Comment