weblog MDESJ ini telah berpindah ke PORTAL MDESJ berkuasa 1 Muharram 1432H /7 Disember 2010

AJK Perintis (1976) diraikan.. Silaturrahim 'Idilfitri 1431H

Friday, April 16, 2010

Masjid PENCETUS kebangkitan

 Khutbah JAIS | PENUH | Jawi | English |
Hubungan antara manusia dan Allah Subhanahu Wata'ala adalah merupakan hubungan yang tersangat penting. Ia bagi menentukan bahawa mahkluk memahami erti yang disembah itu ialah Khalik yang menciptakannya. Mereka mencetuskan hubungan dengan rukuk dan sujud kepada Allah melalui tempat-tempat sujud yang dikenali sebagai masjid.
        
Apabila kita menyorot kembali sejarah Islam, langkah pertama yang diambil oIeh Rasulullah s.a.w. ialah mendirikan masjid. Jelas sekali bahawa pembentukan ummah khususnya masyarakat Madinah adalah bermula di masjid dengan tertegaknya masjid bermakna tertegaknya syi'ar dan tamadun Islam.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah At-Taubah itu 108:
          "Kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang Engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan atas dasar takwa dari mula  (wujudnya), lebih patut Engkau bersolat di situ. Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang ingin membersihkan (menyucikan) dirinya. Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin) " .
| Baca selanjutnya |
Walaupun ayat tersebut ditujukan kepada masjid Quba' tetapi ia menjadi dasar kepada menegakkan masjid-masjid lain dan masjid Quba' di Madinah adalah lebih utama kerana ia ditegakkan di atas dasar takwa dan dimakmurkan oIeh orang-orang yang layak memakmurkannya.


Pembinaan masjid juga sangat berhubung-kait dengan menegakkan Harakatul-Islamiyyah iaitu pembinaan Roh Tauhid yang bersih dari pemujaan terhadap toghut seperti berhala, idealisma dan tuhan yang selain daripada Allah. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah jin ayat 18:
"Dan  sesungguhnya masjid-masjid itu kepunyaan Allah semata-mata; (untuk beribadah kepada-Nya). Maka janganlah kamu menyembah sesiapa pun di dalamnya bersama-sama Allah".
        
Sehubungan dengan itu peranan masjid dalam memperkasa akidah ummah, membina akhlak dan memberikan kefahaman kepada ummah seluruhnya berkenaan syariat Islam yang syumul mestilah dimaksimumkan. Kita mahu melihat keberlangsungan masjid berperanan untuk mengislah masyarakat dengan penyusunan pelbagai aktiviti dan program yang boleh menarik minat golongan sasar ini hadir ke masjid dan seterusnya memperkasa mereka agar mencintai Islam dan akhirnya mampu membentuk mereka untuk menjadi pejuang dan pembela agama Islam yang tercinta ini.

Kita dapat melihat bahawa peranan masjid di zaman Rasulullah s.a.w. meliputi pelbagai aspek dan keperluan ummah seperti dakwah, tarbiyyah, al-iqtisodiyyah, siasah dan sebagainya. Masjid sebagai tempat membentuk dan mencetuskan kebangkitan ummah hendaklah dipraktikkan oIeh umat Islam terus menerus sehinggalah kita dapat melihat seluruh ummah akan berada pada landasan akidah dan syariah yang sebenarnya melalui binaan masjid yang diamanahkan kepada kita. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

          "Sesiapa yang membina sesebuah masjid kerana menuntut keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala, Allah akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga".

Masjid yang didirikan mestilah mampu menambat hati jamaah agar sentiasa dimanfaatkan untuk mengingati Allah Subhanahu Wata'ala dan melangsungkan aktiviti dakwah, islah dan tarbiyyah. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nur itu 36-38:
"Bertasbihlah kepada Allah di rumah-rumah ibadah yang diperintahkan oIeh Allah supaya dimuliakan kedudukannya dan disebut serta diingati nama-nama Allah padanya, di situ juga dikerjakan ibadah memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadah itu dikerjakan oIeh) lelaki yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oIeh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat dan membayar zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya hati dan pandangan menjadi gusar. Agar Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan menambahi limpah kurnia-Nya dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya dengan tidak terhitung (jumlahnya)".
 

          Kepimpinan masjid seharusnya berpandangan jauh dan pro-aktif dengan menjana kaedah atau pendekatan baru bagi menarik minat khususnya golongan remaja, muda-mudi dan masyarakat umum untuk tertarik dengan masjid dan terlibat dalam aktiviti masjid. Kadangkala kita perlu menyusun program bukan hanya di dalam pagar pintu masjid sahaja bahkah kebarangkalian perlu untuk melangkaui pagar-pagar masjid dengan penganjuran tazkirah, kuliyyah atau dialog santai diisi dengan hiburan yang tidak menyalahi syarak bersama muda-mudi di Tapak-tapak Pasar Malam, Gedung-gedung Membeli-belah atau mungkin di Padang-padang Awam.
          Pihak masjid juga perlu menarik minat muda-mudi, remaja dan bekas-bekas penagih dadah yang kadangkala tidak tahu ke mana arah tuju hidup mereka, dengan Program Kaunseling, Riadhah dan Program-program Motivasi untuk memperkasa pemikiran dan tindakan mereka agar dapat dipimpin ke arah yang positif.
          Adalah tidak adil kita hanya menyalahkan golongan remaja, muda-mudi dan orang-orang yang terlibat dengan kerosakan akidah, akhlak dan syariah sahaja, sehingga pengabaian ini mencetuskan kerosakan dengan berleluasa sedangkan kita tidak menyalahkan diri kita sendiri yang gagal melaksanakan amanah untuk mengislahkan suasana, gagal mendepani amar makruf dan nahi mungkar dan gagal merangka aktiviti serta program untuk mereka. Kita bimbang hari ini kita dengar banyak musibah telah berlaku di sana sini seperti gempa bumi, banjir besar dan bermacam-macam lagi akibat kelalaian manusia melaksanakan kewajipan amar makruf dan nahi mungkar. Hadith nabi s.a.w. riwayat Imam Tarmizi:-
 "Suruhlah manusia berbuat kebaikan dan cegahlah mereka daripada melakukan kemungkaran atau jika tidak melaksanakannya nescaya seksaan Allah boleh jadi akan mengenai kamu. Kemudian kamu memohon kepada Allah agar seksaan itu dapat dihentikan maka permohonan kamu tidak diterima lagi" .
          Kesimpulannya, memperkasakan masjid itu adalah bertitik-tolak daripada kefahaman kita tentang ajaran Islam yang menyeluruh dan fikrah kita yang jelas tentang mentauhidkan Allah, pentingnya dakwah Islam dan tarbiyyah untuk mengajak ummah seluruhnya kembali kepada ajaran Islam dan peranan masjid itu sendiri sebagai tempat atau wadah untuk mengislahkan ummah dan terbinanya masyarakat Islam ialah melalui masjid. Justeru, kita perlulah menjana masjid sebagai tempat;
1 .      Pengabdian  diri  kepada   Allah   Subhanahu  Wata'ala  dan   tempat pembentukan masyarakat Islam yang terlaksana di dalamnya ajaran Islam yang syumul;
2 .      Menanamkan fikrah kepada umat Islam bahawa agama Islam bersifat haraki bergerak melebarkan dakwah dan tarbiyyah ke seluruh tempat dan lorong;
3.       Membina Roh Tauhid yang bersih kepada umat Islam dari pemujaan terhadap mahkluk dan segala macam toghut kepada hanya menyembah Allah ;
4.       Penyatuan dan pembinaan kekuatan umat Islam;
5 .      Sebagai One Stop Centre melengkapi:
a-      Kegiatan  Koperasi  dan Pusat Makanan  Halal  untuk  menjana Ekonomi  Masjid;
b-      Sebagai tempat Islah Sosial dengan wujudnya Pusat-pusat Kaunseling dan cakna terhadap bekas penagih;
c-       Penganjuran riadhah dan sukan untuk menarik minat golongan muda;
d-      Kebajikan seperti kewujudan klinik untuk memberi kemudahan kepada pesakit kurang upaya, fakir miskin bagi bimbingan kerjaya dan rumahtangga.
e-      Mengadakan Karnival Jom Ke Masjid untuk menarik minat masyarakat ke masjid.
          Selaras dengan itu adab-adab mengunjungi masjid perlulah dijaga dan diamalkan seperti menunaikan Solat Tahiyyatul-Masjid, menjaga kebersihan, tidak berjual-beli di dalam masjid dan tidak melakukan perkara-perkara mungkar dan tidak senonoh di dalam masjid.
Marilah kita memaksimumkan masjid kita untuk menjana ummah yang berkualiti sehingga akhirnya Islam kembali gemilang dan dihormati.
"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk". (At-Taubah :18)

0 comments:

ANAK YATIM YAYASAN AL-IJABAH

ANAK YATIM YAYASAN AL-IJABAH
Menyumbanglah kepada dana saham amanah akhirat bagi pembangunan YAYASAN AL-IJABAH ... Klik gambar di atas

Tabung Amanah Saham Akhirat

Tabung Amanah Saham Akhirat
...kemudahan bank transfer anda.

KHAIRAT KEMATIAN MDESJ & MANFAAT

1. DAFTARLAH SEGERA SEBAGAI AHLI
2. Muat turun BORANG KEAHLIAN
3. Jika berlaku kematian SIAPA YANG PERLU DIHUBUNGI?

PANDUAN PRODUK HALAL /SUCI

Maklumat KEPENGGUNAAN Terpilih

SELSEMA BABI

STATUS TERKINI


  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP